RasulullahSallallahuAlaihiWasallam bersabda “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian ialah syurga”.
RasulullahSallallahuAlaihiWasallam mendoakan keluarga Yasir, “Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka”.
Keluarga yang agung dan mulia ini menghimpunkan segala sisi keutamaan.
Keutamaan-keutamaan ini semerbak harum menebarkan aroma kemuliaan dan ia
tersebar dari generasi terawal memeluk Islam sehinggalah ke generasi
akhir zaman.
Pemimpin keluarga ini, Yasir bin Amir bin Malik berasal dari Yaman.
Beliau datang ke Mekah bersama-sama Al-Harits dan Malik dalam rangka
menjejaki saudaranya. Mereka berdua kembali ke Yaman, sebaliknya Yassir
terus menetap di Mekah. Beliau kemudiannya menjalin persahabatan dengan
Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah bin Abdullah Al-Makhzumy, yang kemudiannya
menikahkannya dengan seorang hamba wanita, Sumayyah bintu Khubath, lalu
melahirkan seorang anak lelaki, bernama Ammar. Abu Hudzaifah
kemudiannya memerdekakan Sumayyah manakala Yasir dan Ammar tetap
bersama-sama dengan Abu Hudzaifah sehingga meninggal dunia.
Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak pernah dikenali di seluruh
pelosok Mekah sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di Ummul Qura.
Beliau seorang wanita yang bersosok besar, usianya telah memasuki usia
senja. Namun, beliau memiliki akal yang jernih, dan jiwanya memancarkan
keikhlasan, bara dan semangat!. Tidak berapa lama selepas Rasulullah
memulakan dakwah baginda, keluarga Yasir muncul sebagai di antara
manusia terawal mengimani risalah Islam dan membenarkan kerasulan
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Keimanannya yang
mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya sebagai pelopor wanita-wanita
yang sabar dan tegar mempertahankan akidah. Bahkan beliaulah adalah
orang ketujuh yang masuk Islam dan di antara orang terawal yang
menampakkan keislamannya. Hal ini disebutkan oleh Al-Imam Adz-Dzahaby Rahimahullah di dalam bukunya, Siyar A’lamin-Nubala’ menerusi riwayat Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu,
“ Yang pertama sekali menampakkan keIslaman mereka secara
terang-terangan ada tujuh orang; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,
Abu Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendapat perlindungan dari bapa
saudarany (Abu Talib). Abu Bakar mendapat perlindungan kaumnya. Yang
lain-lain pula mengalami penyeksaan yang keras dari orang-orang musyrik,
dikenakan baju besi lalu ditelantarkan di bawah terik matahari. Tidak
seorang pun dari mereka kecuali harus memenuhi apa yang mereka inginkan,
kecuali Bilal. Dia tidak peduli apa yang menimpa dirinya kerana Allah.
Dia juga tidak peduli kepada kaumnya. Ketika dia diseksa, kanak-kanak
kecil ikut sama mengerumuninya, dan dia hanya mampu mengucapkan, ‘Ahad,
ahad, ahad”.
Keluarga Sumayyah turut sama berada di barisan hadapan. Kemarahan kaum
Quraisy benar-benar memuncak. Hampir setiap nafas mereka adalah hembusan
kebencian kepada orang-orang yang mengucapkan “Rabb kami adalah Allah”.
Penyeksaan-penyeksaan tidak pernah menjadikan kaum Muslimin berundur,
malah mereka tetap istiqamah dan terus mengikuti Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sementara itu, baginda hanya mampu meniupkan kata-kata semangat dan
motivasi keimanan kepada keluarga Sumayyah kerana tiada seorangpun yang
mampu memberikan jaminan kepada keluarga tersebut. Keluarga itu menerima
pelbagai jenis penyeksaan dari orang-orang musyrik yang terbakar oleh
api dendam dan kebencian terhadap dakwah Islam. Mereka memuaskan
keinginan yang gila dengan menyeksa Sumayyah dan keluarganya. Ibnu
Atsir Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya, Usdul Ghabah, tentang seksaan yang dialami oleh Sumayyah dengan berkata, “Dia
termasuk orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan dia juga
termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat seksaan yang keras kerana
Allah”.
KELUARGA YANG SABAR
Tiada yang mampu dilakukan manusia kecuali terkagum terhadap keluarga
Yasir, sebuah keluarga yang mulia, yang diberi kemudahan, dan yang mampu
menggegarkan para pemimpin kaum musyrikin Mekah. Mereka yang sebelumnya
dikenali sebagai orang-orang yang lemah lembut, tidak lagi mempunyai
sifat itu tatkala berhadapan dengan kaum kafir yang cuba mengoyakkan
keimanan mereka. Bahkan kaum musyrikin hampir hilang akal kerana rasa
marah ketika melihat keluarga ini semakin tenang dan mantap, tidak gerun
terhadap seksaan, tidak beranjak sedikit pun dari akidah mereka, malah
tidak surut kesabaran mereka ketika dijemur di bawah terik matahari
dalam keadaan kehausan. Ketegaran keluarga ini membuatkan kaum musyrikin
kehairanan, bingung dan semakin berang. Mereka mengheret Ammar bersama
kedua ibubapanya ke tengah-tengah padang pasir yang panas sepanasnya,
agar mereka keluar dari Islam. Ironinya, keluarga sabar ini sentiasa
bertambah keimanan mereka seiring dengan semakin pedihnya seksaan.
Mereka semakin pasrah, terutamanya setelah mereka mendengarkan doa
memohon pengampunan bagi diri mereka oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Salim Abul-Ja’d meriwayatkan, beliau berkata, “Utsman memanggil
beberapa sahabat Rasulullah, di antaranya terdapat Ammar bin Yasir.
Ustman berkata, ‘Aku akan menyampaikan kepada kalian hadis tentang
Ammar. Aku bersama Rasulullah pergi ke Al-Bathha’ sehingga kami menemui
Ammar berserta ibubapanya ketika kaum musyrikin menyeksa mereka. Yasir
berkata kepada Rasulullah, “Apakah selamanya aku akan begini?”. Baginda
bersabda, “Bersabarlah!”. Kemudian baginda bersabda, “Ya Allah, berilah
ampunan kepada keluarga Yasir, kerana Engkau telah berbuat apa yang
Engkau Perbuat” . [Ditakhrij oleh Ahmad]
PENENTANGAN SUMAYYAH
Kaum musyrikin Quraisy hampir tidak pernah menghentikan seksaan terhadap
Sumayyah dan keluarganya. Selepas suaminya meninggal dunia akibat
penyeksaan, Sumayyah semakin menentang dan memberikan reaksi keras
terhadap Bani Al-Mughirah bin Abdullah bin Makhzum, yang dipelopori oleh
Abu Jahal. Dia layaknya orang yang tidak waras dan tidak berperasaan
ketika berhadapan dengan ketegaran Sumayyah mempertahankan akidahnya.
Baginya, kedegilan Sumayyah ialah perlecehan terhadap dirinya. Sumayyah
telah berjaya mencarik-carik kebesaran nama Abu Jahal di kalangan kaum
musyrikin kerana kesabarannya terhadap kerasnya seksaan. Hati Abu Jahal
hampir saja meledak kerana Sumayyah tidak mahu memperolok-olokkan dan
mengeji nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, walau dengan hanya satu kata seperti yang dipaksakan Abu Jahal kepadanya.
Abu Jahal (semoga Allah menghinakannya), tidak membiarkan satu pun
sarana untuk menghalangi manusia dari jalan Allah, melainkan dia akan
menggunakannya. Dia tidak mendapatkan satu jalan pun untuk menekan
orang-orang Mukmin, melainkan dia akan melaluinya. Ibnu Ishaq Rahimahullah, menyampaikan satu gambaran yang jelas tentang hal ini, dengan berkata,
“ Abu Jahal, orang jahat yang terperdaya di tengah-tengah kaum
Quraisy, jika mendengar berita seseorang masuk Islam, dan orang itu
adalah orang yang terpandang dan mendapat jaminan perlindungan,maka dia
hanya akan mengingatkannya dan menegurnya dengan berkata, ‘Kau
tinggalkan agama bapamu, padahal bapa-bapamu adalah lebih baik darimu.
Kami benar-benar akan mengalahkan pendapatmu dan benar-benar akan
menghinakan kehormatanmu.’
Jika yang dihadapinya adalah seorang pedagang, maka dia akan berkata 'Demi
Tuhan, kami benar-benar akan membuatkan kamu rugi dalam perniagaanmu,
dan kami benar-benar akan menghancurkan harta bendamu'. Jika yang
dihadapinya adalah orang yang lemah, maka dia akan memukul dan
menyeksanya semahu-mahunya. Semoga Allah melaknat dan memburukkannya”
SYAHIDAH PERTAMA
Sumayyah Radiallahu Anha adalah wanita pertama yang menampakkan
keIslamannya, di samping menjadi syahid pertama yang mengorbankan
dirinya di jalan Allah. Dalam peristiwa kesyahidannya itu, terkandung
pelajaran-pelajaran berharga bagi sesiapa yang memiliki hati atau
mempunyai pendengaran. Beliau menjadi sosok syahid yang sebenarnya dan
mempamerkan hakikat sabar kepada para generasi seterusnya.
Setelah suaminya, Yasir meninggal dunia kerana penyeksaan yang sangat berat, Sumayyah Radiallahu Anha
diserahkan pula oleh Abu Hudzaifah kepada Abu Jahal, sehingga si jahat
itu dapat menyeksa dengan segala cara yang diinginkannya disamping
mengejek-ejek diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan
sejuta sumpah seranah dan umpat keji. Suatu petang, Abu Jahal bersikap
keras kepada Sumyyah, kemudian berkata kepadanya, “Engkau tidak beriman kepada Muhammad melainkan kerana engkau tergila-gila kepada ketampanannya”.
Apa pula reaksi Sumayyah? Beliau memberikan jawapan yang tidak kalah
kerasnya, lantaran kemarahannya yang tidak tertahan dengan tuduhan Abu
Jahal itu. Keangkuhan Abu Jahal terbukti apabila beliau menikamkan
tombak ke tubuh Sumayyah sehingga menyebabkan Sumayyah meninggal dunia
sebagai syahid, rohnya naik kepada Penciptanya dalam keadaan redha dan
diredhai, kerana telah memberikan kesaksian tidak berbelahbagi bahawa
tiada Ilah selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah Rasul Allah.
Mujahid Rahimahullah berkata, “Syahid yang pertama di dalam Islam
ialah ibu Ammar, Sumayyah yang ditikam Abu Jahal dengan menggunakan
tombak, tepat di ulu hatinya” .(Al-Bidayah Wan-Nihayah, 3/59)
Ibnul Jauzy Rahimahullah berkata,” Dia adalah syahid pertama di dalam Islam. Semoga Allah redha kepadanya sebagaimana Allah membuatkannya redha”.
IBNU SUMAYYAH
Sumayyah, nama ini dan sahabiyah ini tetap hidup abadi menebarkan
keharuman setelah mati syahid dan beruntung telah meraih keredhaan
Allah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terbiasa memanggil anaknya Ammar, dengan sebutan “Ibnu Sumayyah”.
Maka, tidak dapat lagi dimungkiri bahawa panggilan yang diberkahi ini
merupakan penghormatan terhadap sahabiyah yang sabar dan baik ini.
Panggilan itulah yang lebih sering meluncur dari lisan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia.
Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu pernah berkata, “Aku
pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, ‘Jika
manusia saling berselisih, maka Ibnu Sumayyah berada pada kebenaran”. (Kisah ini disebutkan di dalam Siyar A’lamin-Nubala, 1/415-416; Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 3/575)
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga sering menyebutkan
nama Sumayyah dengan keutamaan dan kebaikan. Sewaktu Perang Badar,
baginda menyampaikan khabar gembira bagi “orang baik yang mendapat kebaikan”. (Julukan untuk Ammar, kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda kepadanya, ‘Selamat datang wahai orang baik yang mendapat kebaikan’).
Di dalamnya disebutkan juga nama Sumayyah. Peristiwa ini dikisahkan
ketika musuh Allah, Abu Jahal terbunuh di dalam Perang Badar. Ketika itu
Rasulullah menggembirakan Ammar dengan berkata “Allah telah membunuh orang yang membunuh ibumu”.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mendoakan
untuk Sumayyah dan keluarganya dengan doa yang diberkahi ketika Ammar
mendatangi Rasulullah mengadu seksaan yang dihadapi oleh ibubapanya
termasuk dirinya sendiri. Beliau berkata, “Wahai Rasulullah, kami
mendapatkan seksaan yang sangat keras”. Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda, “Bersabarlah wahai Abul Yaqzhan (julukan lain bagi
Ammar). Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir
dengan api neraka” (Al-Isti’ab, 4/325; As-Sirah Al-Halabiyah, 1/484)
NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Inilah kisah sahabiyah yang sabar, yang disajikan sirahnya sebagai
wanita yang teguh hati pada kebenaran dan keimanan, sehingga menjadi
pelopor di dalam perjuangan Islam sepanjang zaman. Ibnu Abdil-Barr Rahimahullah memuji Sumayyah dengan berkata, “Dia
termasuklah orang yang diseksa kerana Allah, dan sabar di dalam
menghadapi seksaan. Dia termasuklah wanita yang berbaiat, baik dan
terutama” (Al-Isti’ab, 4/324)
Semoga Allah merahmati Sumayyah ibu Ammar, wanita dan orang pertama yang
mati syahid di dalam Islam, ibu orang yang pertama membangun masjid dan
digunakan untuk solat. Kesejahteraan bagi keluarga Yasir, kesejahteraan
ke atas kalian kerana kesabaran kalian dan sesungguhnya kalian akan
mendapat balasan yang sebaik-baiknya.
“Terimalah khabar yang baik wahai keluarga Ammar, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga” (Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang
disampaikan oleh Ustman Al-Affan. Dipetik dari Thabaqat Ibnu Sa’ad,
3/249; Majma’ Az-Zawaid, 9/293; Tarikhul Islam Adz-Zahaby, 3/572)
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah telah memberi dari orang-orang Mukmin, diri dan
harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang
kerana Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi)
janji yang benar dari Allah di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran.
Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka,
bergembiralah dengan jual beli yang telah kalian lakukan itu, dan
itulah kemenangan yang besar” (At-Taubah: 111)
Sumayyah bintu Khubath Radiallahu Anha termasuk sejumlah wanita
yang terawal menerima Islam dan bersegera memenuhi janji Allah serta
membenarkan apa yang telah dijanjikan Allah kepada kaum Muslimin,
sehingga beliau berhak mendapat khabar gembira sebagai orang yang
dijanjikan syurga. Bagaimana pula dengan kita sebagai kaum muslimah
akhir zaman? Semoga kisah ini menjadi obor penyuluh dan menyemarakkan
lagi semangat kita dalam mendakwahkan agama Allah ini sehingga tiba
janji Allah yang seterusnya, "akan berdiri semula kekhilafahan di atas manhaj kenabian" [HR Ahmad]
|